Tuesday, February 28, 2017

Lapuran Polis Dan Aduan Kepada Pihak COB Klang Unit C-5-03A


Aduan daripada penghuni yang tinggal di Blok C Bayu Villa berkenaan pembuangan barangan lusuh di dalam kawasan perkarangan lalu lalang.

Tinjauan mendapati keadaan sungguh menjijikkan di mana barangan itu diletak secara bertaburan. Pemilik barangan tersebut adalah unit C-5-03A.



Atas aduan demi aduan yang diterima pihak pengurusan telah pergi berjumpa dengan penghuni rumah tersebut dan memberi tempoh 2 hari untuk menyelesaikannya. Kegagalan menyelesaikannya akan membolehkan pihak pengurusan mengambil tindakan membersihkannya.



Lapuran Polis telah dilakukan serta aduan kepada pihak COB Klang telah diberi sebagai langkah berjaga jaga jika terdapat sebarang kejadian yang tidak diingini berlaku.


Thursday, February 23, 2017

Isu Berhubung Kes Penyelewengan Memadamkan Rekod Tunggakan Wang Penyelenggaraan.


Badan Pengurusan Bersama Bayu Villa
D-G-21, Bayu Villa Apartment,
Jalan Batu Unjur 9, Taman Bayu Villa,
41200 Klang, Selangor.
Tel: 03-33192664

Pesuruhjaya Bangunan Klang
Jalan Raya Barat,
41000 Klang.                                                                    21.02.2017

Tuan/Puan,

Perkara: Isu Berhubung Kes Penyelewengan Memadamkan Rekod Tunggakan Wang Penyelenggaraan.

Berhubung dengan perkara diatas, surat kami yang bertarikh 21.11.2016 yang telah dihantar kepada pihak Pesuruhjaya memberi segala penjelasan mengenai kes penyelewengan memadamkan rekod tunggakan wang penyelenggaraan.

Sehubungan dengan itu kami ingin mendapat penjelasan dari Pesuruhjaya mengenai siasatan kes ini kerana keputusan ini akan memberi kita membuat penilaian tindakan yang seterusnya.

JMB Bayu Villa ingin mengambil tindakan membuat sekali lagi lapuran polis memandangkan Lapuran Polis yang dibuat pada 15.08.2015 tiada penjelasan dari pihak Jabatan Jenayah Komersial Polis Diraja Malaysia Klang.

Melalui perbincangan yang diadakan dengan seorang Inspektor yang bertugas beliau memaklumkan bahawa kes ini telah diberi rujukan kepada Pesuruhjaya Bangunan Klang untuk diambil tindakan serta penilaian.

Kerjasama dari pihak Pesuruhjaya Bangunan Klang akan membantu kami membuat penilaian semula mengenai kes ini.


Yang benar,



……………………………..

Lee Boon Hoe (012-2159897 / 016-2159897)

Tuesday, February 21, 2017

Bayaran Ansuran Tunggakan Sebanyak RM407,729.29 Jelas Dan Selesai. Timbul Masalah Isu Bil Semasa.







Badan Pengurusan Bersama Bayu Villa
D-G-21, Bayu Villa Apartment,
Jalan Batu Unjur 9, Taman Bayu Perdana,
41200 Klang, Selangor.
Tel: 03-33192664

Tenaga Nasional Berhad.
Wisma TNB Subang Jaya,
Jalan USJ 10/1A, USJ 10,
47620 Subang Jaya,
Selangor.                                                                           21.02.2017

Tuan/Puan,

Re: Masalah Berhubung Dengan Bil Bil Semasa (220231732008) (220231734405) (220231737102) (220231740304) (220231745104)

Untuk makluman pihak pengurusan TNB, pengurusan JMB Bayu Villa telah menyelesaikan segala tunggakan kami yang berjumlah RM407,729.29 melalui bayaran ansuran selama 2 tahun mulai bulan Februari 2015 sehingga Januari 2017 (24 bulan).

Seperti dalam perjanjian kami dengan pihak TNB, penyelesaian tunggakan ini haruslah berserta dengan bayaran semasa bil TNB setiap bulan. Pihak TNB juga telah berjanji akan memansuhkan segala bayaran “Bunga atau Interest” (Surcaj Lewat Bayar) yang dikenakan setiap bulan keatas bil TNB - JMB Bayu Villa.

Tetapi kami menghadapai masalah membuat pembayaran bil semasa TNB semenjak bulan April  2016 kerana menghadapi masalah berhubung dengan bil bil semasa TNB yang tidak tepat serta jumlah yang tidak munasabah yang mengakibatkan kami tidak berupaya membuat pembayaran seperti biasa.

Beberapa perjumpaan diadakan dengan staf pegawai TNB berbincang mengenai isu bil semasa dan pihak TNB juga tahu apa yang berlaku semasa berlaku penukaran sistem  bil di dalam TNB. Setelah perbincangan mereka ada menghantar bil penyelarasan tetapi setiap bulan juga bil yang dihantar oleh TNB tidak tepat.

Bil semasa kami berada dalam anggaran RM9,000.00 ke RM10,000.00 setiap bulan tetapi jumlah ini melonjak sehingga belasan ribu semenjak bulan Mei 2016. Akibatnya kami menghadapi masalah yang sangat besar dalam membuat perhitungan pembayaran kepada TNB. 

Jumlah wang penyelengaran yang diterima tidak cukup untuk menampung jumlah bil semasa yang dikenakan oleh TNB walaupun kami dapat menyelesaikan tunggakan kami sebanyak RM16,976.10 setiap bulan. Kami di pihak pengurusan ada peruntukkan perbelanjaan semasa setiap bulan jadi jumlah bil yang tidak tepat mengakibatkan kami tidak berupaya membuat perhitungan yang tepat.

Satu carta pembayaran dan jumlah bil semasa telah kami sediakan untuk tantapan pihak pengurusan TNB mengenai masalah yang kami hadapi. Carta ini akan menunjukkan dengan lebih tepat dan terang berhubung bil semasa TNB yang terumbang ambing. Sehingga kini bil semasa yang kami terima masih menunjukkan suatu jumlah yang tidak tepat dan setiap kali ada saja bil penyelarasan dihantar kepada kami.

Untuk makluman pihak TNB, kami mengharapkan agar pihak TNB menyelaraskan bil semasa sekali lagi bersamaan pemansuhan “Surcaj Lewat Bayar” dari bulan Februari 2015 sehingga bulan Mei 2016 supaya kami dapat membuat pembayaran mengikut jumlah yang sebenar.

Untuk menunjukkan pengurusan kami komited dalam membuat pembayaran kepada TNB, setiap bulan kami akan terus membuat pembayaran yang sama sebanyak RM16,976.10 selama beberapa bulan lagi bagi menampung segala bil tunggakan semasa semenjak bulan Julai 2016 sehingga sekarang (Januari 2017)

Melalui kiraan kami jika bil semasa kami berada dalam purata anggaran RM10,000.00 setiap bulan (melalui carta yang disertakan) kami masih mempunyai tunggakan sekitar RM75,000.00 ke RM85,000.00 (8 bulan) sehingga bulan Januari 2017.

Kerjasama dari pihak TNB amatlah kami hargai dan sesungguhnya kami amat berbesar hati agar pihak TNB dapat memberi kami kelonggaran untuk bernafas dan mengharungi kesulitan yang dihadapi oleh kami. JMB Bayu Villa merupakan entiti pertubuhan penduduk dan bukanlah syarikat yang mencari keuntungan.



Yang benar,



……………………………….
Lee Boon Hoe – Bendahari JMB Bayu Villa


Tel: 012-2159897 / 016-2159897

Monday, February 20, 2017

Notis Kepada COB Klang Mengenai Penukaran Firma Pengauditan


Sepucuk surat di hantar kepada pihak COB Klang memberitahu mereka bahawa pihak pengurusan telah melantik sebuah firma baru menjalankan urusan pengauditan Lapuran Tahunan Kewangan JMB Bayu Villa yang berakhir 2015.

KT Chan & Associated (KL) Sdn Bhd juga dilantik untuk mengauditkan Lapuran Tahunan Kewangan JMB Bayu Villa yang berakhir 2016.

Saturday, February 18, 2017

Al-Kisah Masalah Penyambungan Paip Baru Di Blok E. Bahagian 4.



Penyambungan paip dari bilik pengepam terus ke Blok E telah pun disiapkan pada 15.02.2017 setelah tertangguh selama beberapa minggu.


Diharap penyiapan penyambungan paip ini akan membantu menyelesaikan segala masalah yang tersedia ada di mana kebocoran dapat dibendung untuk selama lamanya.



Cara penyambungan paip ini merupakan cara penyambungan yang terbaik dari segi susun atur supaya ianya tidak menghalang atau menyusahkan lagi penghuni yang tinggal disitu.




  

Buat masa ini tiada masalah yang berlaku lagi di Blok E dan pihak pengurusan sedang membuat pemeriksaan keatas keadaan kolam renang. Dipercayai terdapat paip yang bocor berdekatan dengan perjalanan paip air ke dalam kolam renang.


Friday, February 17, 2017

Al-Kisah Masalah Penyambungan Paip Baru Di Blok E. Bahagian 3.


Cadangan penyambungan paip air akan melalui longkang yang telah disarankan oleh kontraktor. Cara sedemikian akan menampakkan penyambungan ini lebih cantik dan tidak sakit mata apabila memandang.


Cadangan sedemikian sepatutnya dilaksanakan dengan secepat yang mungkin tetapi akibat terlalu banyak perayaan dan sambutan maka kerja perlaksanaan telah ditangguh dari masa ke semasa.


Penyambungan ini nampaknya lebih saksama tetapi kos untuk menanggung air yang melimpah keluar ke dalam longkang akan naik kepada beribu ringgit.



Thursday, February 16, 2017

Al-Kisah Masalah Pemyambungan Paip Baru Di Blok E. Bahagian 2.


Akibat bantahan yang begitu kuat daripada penghuni serta pertikaian mengenai kedudukan kekuatan konkrit yang dipotong, kerja kerja pengubahan dan pembaikian dijalankan dengan serta merta setelah selesai perbincangan. 



Kerja kerja pembaikian ini akan menelan kos perbelanjaan yang begitu tinggi akibat kecuaian pihak pengurusan yang telah membuat keputusan pada permulaanya serta tidak menilai akan pandangan setengah pihak di mana keseluruhan cara pemasangan paip pada permulaanya akan ditanggalkan dan akan melalui cara penyambungan yang baru.  


Batang besi yang dipotong akan disambungkan balik dan dikonkrit dengan sejenis bahan yang kuat bagi memastikan keutuhan konkrit tersebut.





Dua batang besi yang telah dikimpal bagi memastikan kekuatan pada struktur bahagian konkrik yang telah dipotong.


Campuran bahan simen serta sejenih bahan kimia bagi menguatkan simen yang akan ditampal bersamaan 2 batang besi yang telah dikimpal.





Paip paip penyambungan yang pada asalnya telah dipasang telah ditanggalkan keseluruhannya dan akan melalui sistem pemasangan menggunakan jalan alternatif yang baru.



Wednesday, February 15, 2017

Al-Kisah Masalah Penyambungan Paip Baru Di Blok E. Bahagian 1.


Kita masih ingat beberapa minggu yang lalu terdapat kebocoran paip dibawah tanah berdekatan dengan bilik pengepam tangki air berdekatan Blok E.

Akibat kebocoran ini keputusan telah diambil untuk memperbaiki kebocoran ini dengan memasang paip yang baru.




Kebocoran ini berlaku pada awal bulan Januari 2017 tetapi sehingga kini ianya masih belum siap dilaksanakan kerana menghadapi beberapa isu serta masalah akibat cara pemasangan dan aliran pemasangan paip yang tidak betul.



Melalui gambar yang sedia ada, pemasangan paip pada permulaanya bermula dengan memasang aliran paip melalui tempat lalu lalang yang telah dibuat keputusan oleh pihak JMB dan pihak pengurusan orang atasan. Akibatnya ianya mendapat bantahan yang cukup kuat sekali terutama dari penghuni penghuni yang tinggal di Blok E.


Ramai yang mempertikaikan cara pemasangan ini bukan saja tidak efektif kerana melalui lorong lalu lalang rumah yang ada dibawah tetapi ianya juga menghodohkan keadaan suasana dalaman tempat tersebut dan tempat ruang menunggu lif.



Malahan mendapat tentangan yang sangat kuat daripada penghuni kerana kontraktor memotong sebahagian konkrit untuk memudahkan paip tersebut mempunyai aliran perjalanan air yang mudah.



Akibat tentangan yang kuat dari penghuni di Blok E, kerja pemasangan paip dihentikan dengan serta merta untuk mencari jalan alternatif yang terbaik dalam menyelesaikan masalah ini.

Pemberhentian kerja ini telah mengakibatkan kerja ini tergendala selama lebih dari 2 minggu dan dijangka jumlah air yang mengalir keluar beranggaran beribu ringgit mengalir ke dalam longkang.


Tuesday, February 14, 2017

Firma Pengauditan Yang Baru Telah Dilantik.


Sehubungan dengan kegagalan sebuah firma audit yang dilantik bagi menyiapkan Lapuran Tahunan Kewangan Berakhir 2015, firma tersebut telah ditamatkan kerjanya. 

Kegagalannya firma tersebut menghadiri 2 kali mesyuarat serta tidak serius dalam mempercepatkan proses pengauditan telah menyebabkan pengurusan terpaksa melantik firma yang baru.


Sebuah firma baru telah dilantik bagi menyiapkan Lapuran Tahunan Kewangan 2015. KT Chan & Associate (KL) Sdn Bhd telah dilantik bagi mengendalikan segala penyiapan urusan akaun yang akan diaudit. Segala fail fail untuk tahun kewangan berakhir 2015 telah diserahkan kepada firma tersebut.