Tuesday, September 23, 2014

Mesyuarat Tergempar - Pemotongan Bekalan Air.


Semalam Ahli Jawatankuasa Pengurusan Bersama (JMC)  mengadakan mesyuarat tergempar mengenai kes dan isu pemotongan air. Di dalam mesyuarat tersebut juga ada di sentuh mengenai sumber kewangan yang tidak mencukupi dan bagaimana harus diatasi supaya boleh membuat bayaran kepada pihak Syabas.
 
Sehingga semalam jumlah hutang yang tertunggak kepada pihak Syabas berjumlah RM383,729.90.


Mesyuarat bermula dengan Bendahari menerangkan kepada ahli jawatankuasa apakah yang telah berlaku sebelum proses pemotongan air dan selepas proses perbincangan dengan pegawai Syabas sebelum pihak Syabas mengambil tindakan membuat pemotongan air yang berlaku semalam.


Mesyuarat juga dihadiri oleh beberapa penduduk yang ingin mendengar perkembangan terbaru yang berlaku di dalam kes pemotongan air ini.
 
Oleh kerana isu pemotongan ini amatlah kritikal, pihak jawatankuasa JMB Bayu Villa menyeru agar semua penduduk dan pemilik datang beramai ramai ke pejabat JMB Bayu Villa untuk membuat bayaran tunggakan mahupun bayaran awalan wang penyelenggaran dengan secepat yang mungkin supaya pihak JMB yang baru di lantik dapat bertindak bagi mengatasi masalah yang dihadapi.
 
 
Sehubungan dengan itu, ahli jawatankuasa yang berkemampuan berkomitmen akan membuat bayaran pendahuluan wang penyelenggaraan selama setahun dengan potongan diskaun sebanyak 10 peratus akan diberikan bagi mengatasi kemelut yang dihadapi oleh Bayu Villa.



Di dalam perbincangan tersebut, Bendahari juga melakarkan pelan rancangan atau program pembayaran balik yang akan diserahkan kepada pihak Syabas dengan secepat yang mungkin bagi membolehkan pihak Syabas menerima cadangan atau program pembayaran yang dicadangkan.
 
Program pembayaran balik yang dicadangkan bukanlah yang terbaik tetapi ianya merupakan salah satu cara yang terbaik dalam mengatasi krisis kewangan yang melanda Bayu Villa. 


Pihak Pengurusan Bersama JMC berharap sungguh agar pemilik serta penduduk yang berinsiatif serta yang tinggal di dalam Bayu Villa keluar untuk membuat bayaran tunggakan mereka.
 
Jika kita dapat mengumpul setiap unit rumah sebanyak RM200.00 sebuah X 760 unit = RM152,000.00, masalah seperti pemotongan ini dapat dielakan. Yang ini cuma masalah pertama yang harus diatasi.
 
Masalah yang kedua yang akan muncul dalam masa yang terdekat ini iaitu TENAGA NASIONAL BERHAD.

Monday, September 22, 2014

Bekalan Air Ke Dalam Bayu Villa Telah Di Potong.


Bekalan air telah di potong oleh Syabas pada tengah hari tadi. Jam 12.30 tengah hari. Sebelum pemotongan dilakukan Pengerusi Cik Sharmini ada menalifon pegawai Syabas Encik Ahmad Nita berkenaan pembayaran yang akan dilakukan iaitu sebanyak RM10,000.00 pada hari Rabu yang akan datang hasil daripada kutipan wang penyelenggaran yang didapati semasa mengadakan Mesyuarat Agung Luarbiasa.



Tetapi pihak Syabas enggan menerima RM10,000.00 dan mendengar segala apa jua alasan mengenai perkara ini. Pihak Syabas juga menjelaskan bahawa mereka tidak akan memotong air jika JMB Bayu Villa berupaya menjelaskan tunggakan sebanyak RM100,000.00 ke atas. 


Sehubungan dengan perkembangan ini, Pengerusi menalipon Bendahari (Encik: Lee Boon Hoe) yang baru di lantik untuk pergi melihat keadaan di kawasan pemotongan air. Setibanya di sana Encik Lee menerima sepucuk surat daripada pegawai Syabas yang mengatakan air akan di potong pada hari ini juga. 


Sebelum pemotongan dapat dilakukan, Encik Lee memohon agar kontraktor Syabas berhenti sementara waktu sehingga Encik Lee dapat berjumpa dan berbincang dengan pegawai atasan Syabas. Pegawai Syabas yang berada di situ bersetuju tidak akan memotong air semasa Encik Lee pergi berjumpa dengan pegawai atasan Syabas di Klang.


Semasa perjumpaan dengan pegawai atasan Syabas Encik Ahmad Nita, Encik Lee selaku Bendahari telah menawarkan cek berjumlah sebanyak RM20,000 sebagai bayaran pendahuluan menggunakan wangnya sendiri dan memohan agar pihak Syabas memberi masa kepada pihak JMB Bayu Villa selama sebulan dua untuk mencari jalan menyelesaikan tunggakan ini.


Penerangan juga diberikan mengenai Mesyuarat Agung Luarbiasa yang diadakan semalam serta ketiadaan "Sijil Perakuan" daripada pihak COB Klang menyukarkan lagi pihak JMB Bayu Villa untuk bertindak serta mengatur segala rancangan dalam urusan menyelesaikan tunggakan.  


Di dalam perbincangan tersebut Encik Lee juga beberapa kali memohon agar Encik Ahmad Nita memberi masa yang secukupnya tetapi beliau enggan mendengar penjelasan yang diberikan. 

Beliau menjelaskan bahawa dia sudah banyak mendengar penjelasan semenjak daripada bekas Pengerusi Encik Salim, bekas Pengurus Bangunan Encik Azman dan Pengerusi yang sedia ada Cik Sharmini tetapi semuanya tidak mendatangkan sebarang keputusan yang kukuh dan cara menyelesaikan masalah yang dihadapi.  


Encik Ahmad Nita juga mengeluarkan segala fail dan surat yang tebal (fail Syabas Bayu Villa) menunjukkan segala surat akur janji daripada bekas pengurusan JMB Bayu Villa yang berjanji akan membuat bayaran tetapi tidak dapat ditunaikan. 


Akhirnya Encik Ahmad Nita bersetuju menerima RM20,000.00 berserta dengan syarat. Syaratnya ialah Encik Lee harus menulis sepucuk surat atas nama JMB Bayu Villa dan menjelaskan di dalam surat tersebut cara cara hendak melangsaikan segala tunggakan Syabas yang sebanyak RM383,729.90.


Encik Lee menjelaskan bahawa mesyuarat perlu diadakan terlebih dahulu bersama dengan Pengerusi serta Ahli Jawatankuasa yang terlibat sebelum boleh membuat keputusan bagaimana hendak menjelaskan tunggakan Syabas ini.


Encik Lee memohon kepada Encik Ahmad Nita agar menerima cek RM20,000.00 sebagai bayaran pendahuluan dan berjanji kepada pihak Syabas bahawa surat komitmen daripada JMB akan diberikan kepada mereka pada hari Rabu (dua hari dari sekarang) selepas mesyuarat dengan ahli jawatankuasa tetapi Encik Ahmad Nita tidak bersetuju dengan cadangan Encik Lee. 


Beliau masih lagi berkeras dan mengatakan bahawa surat cadangan JMB (bagaimana cara menyelesaikan tunggakan) berserta dengan pembayaran harus di beri pada hari ini dan tunggu apa kata pihak atasan sebelum pihak Syabas membuat pemotongan bekalan. 

Oleh kerana ianya melibatkan sejumlah wang yang amat besar, Encik Lee menyatakan kepada Encik Ahmad Nita bahawa beliau tidak boleh membuat keputusan bagi pihak JMB Bayu Villa kerana ianya harus melalui pertimbangan daripada ahli jawatankuasa. 


Encik Lee berjanji dan merayu beberapa kali supaya di beri tempoh masa sehingga hari Rabu tetapi pihak Syabas masih lagi tetap dengan pendirian mereka.

Oleh kerana perbincangan dengan pihak Syabas tidak dapat mencari sebarang jalan penyelesaian walaupun ditawarkan cek sebanyak RM20,000.00, Encik Lee tidak berupaya lagi untuk menahan pihak Syabas daripada memotong bekalan air ke dalam Bayu Villa. Cek RM20,000.00 tidak dapat di bayar kepada pihak Syabas.


Pegawai yang menjalankan pemotongan air di sana menyarankan bahawa terdapat 760 unit rumah di Bayu Villa. Jika setiap unit rumah berupaya mengeluarkan RM100.00 setiap rumah, JMB boleh mempunyai RM76,000.00. 


Jika RM200.00 setiap unit rumah, JMB boleh mempunyai RM152,000.00 untuk menyelesaikan masalah yang dihadapi. Kenapa tidak meminta kerjasama daripada semua penghuni yang tinggal di dalam?


Di harap semua penduduk yang membaca blog ini memahami keadaan dan situasi yang amat kritikal di mana pemotongan air ini akan menyusahkan semua penghuni yang tinggal di dalam.


Mesyuarat tergempar di antara Ahli Jawatankuasa akan diadakan pada malam ini bagi mencari jalan penyelesaian. Di jangka bekalan air di dalam Bayu Villa akan kering pada keesokan harinya.

Sunday, September 21, 2014

Mesyuarat Agung Luarbiasa Pemilihan Ahli Jawatankuasa Baru - 21hb September 2014


Pendaftaran bermula seawal jam 9.00 pagi. Tujuan Mesyuarat Agung Luarbiasa ini diadakan ialah semata mata untuk mengisi kekosongan dua kerusi yang ditinggalkan di dalam pembentukan Ahli Jawatankuasa JMB Bayu Villa yang baru.  


Pendaftaran dilakukan di dalam bilik pejabat pengurusan JMB Bayu Villa. Proses pemilihan hari ini melibatkan pemilihan serta pelantikan seorang (1) Jawatankuasa Bendahari (treasurer) serta empat (4) orang Ahli Jawatankuasa (committee members).


Kehadiran hari ini cukup memberangsangkan di mana ramai pemilik serta penghuni yang tinggal berdekatan datang untuk menghadiri Mesyuarat Agung Luarbiasa ini.


Encik Kelvin di lantik untuk menjalankan kerja mengambil dan merakamkan video pada hari pengundian.


Tepat jam 10.00 pagi, kedatangan pemilik yang hadir di tempat pendaftaran bertambah begitu ramai sekali sehinggakan pihak pengurusan terpaksa berusaha menyiapkan proses pendaftaran dengan secepat yang mungkin.


Mesyuarat Agung Luarbiasa kali in juga dihadiri oleh begitu ramai angota pegawai polis yang berpakaian biasa untuk menjaga keamanan semasa proses perjalanan Mesyuarat Agung Luarbiasa ini. Dipercayai terdapat 10 anggota pegawai polis berdiri dan memantau keadaan suasana di sekitar kawasan pendaftaran.


Ramai daripada mereka yang tidak pernah datang untuk mengundi mahupun menghadiri sebarang mesyuarat yang pernah diadakan sebelum ini datang secara beramai ramai beratur untuk mendaftar.  


Kehadiran pemilik yang datang berpusu-pusu membuktikan keprihatian mereka akan perkembangan yang berlaku serta inisiatif untuk memainkan peranan mereka menaikan semula keadaan di dalam Bayu Villa.



Pemilik yang mempunyai kelayakan masuk ke dalam dewan mesyuarat menunggu mesyuarat bermula. Mesyuarat terpaksa bermula jam 11.00 pagi kerana masih terdapat begitu ramai yang datang membuat pendaftaran.



Kehadiran pegawai COB Klang, Puan Shaferella binti Sapardin bersama dengan rakannya yang datang untuk membuat pemantauan dan memerhati proses perjalanan Mesyuarat Agung Luarbiasa ini.



Masih ada beberapa individu yang sempat mengambil peluang membaca surat khabar dan menunggu sehingga mesyuarat bermula. 



Para penghuni dan penduduk yang hadir memerhati dari belakang semasa menunggu proses bermulanya perjalanan mesyuarat.




Mesyuarat Agung Luarbiasa dimulakan dengan Pengerusi memberi ucapan serta menekankan bahawa hanya pemilik yang mempunyai nama mereka yang tertera di dalam S&P (Sales and Purchase Agreement) sahaja yang boleh berada di dalam dewan mesyuarat.


Kehadiran penghuni serta penduduk di dalam dewan Bayu Villa yang sedang memerhatikan proses perjalanan Mesyuarat Agung Luarbiasa (EGM).




Perjalanan mesyuarat kali ini berjalan dengan lancar dengan tiada insiden yang tidak dingini berlaku semasa proses pengundian dijalankan.



Boleh dikatakan secara kesimpulan Mesyuarat Agung Luarbiasa kali ini berjaya menarik begitu ramai sekali pemilik yang layak untuk mengundi. Mengikut rekod kehadiran, terdapat 62 pemilik yang berdaftar datang mengundi serta memilih ahli jawatankuasa. 



Siapakah yang telah dipilih di dalam pemilihan Ahli Jawatankuasa yang baru? Tunggu blok yang seterusnya untuk mengetahui keputusannya.

Saturday, September 20, 2014

Sabotaj Kebakaran Berlaku Di Blok B - Tingkat 2.


SABOTAJ DEMI SABOTAJ 

Satu kebakaran telah berlaku di tingkat 2 Blok B bersebelahan dengan bilik pemadam api. Pada waktu yang sama Pro-Team sempat meninjau keadaan kejadian kebakaran pada waktu itu di mana bilik pemadam api itu masih dalam keadaan bahang panas. Paip yang berada di dalam telah terbakar dengan tangki pemadam api dipercayai telah meletup.


Kejadian ini dipercayai dilakukan oleh dua orang lelaki India yang sengaja menyalakan api menggunakan mancis api serta pemetik api dengan membakar gulung hos api tersebut. 


Mujurlah terdapat seorang budak lelaki yang tinggal di bawah Blok B melihat kejadian tersebut dan berlari meminta pertolongan bahawa terdapat kebakaran yang berlaku di tingkat 2. 


Kebakaran tersebut berjaya dipadamkan dengan segera oleh penduduk di situ (tidak tahu siapa) sebelum ianya merebak keseluruhan bangunan di Blok B. Kejadian ini amat menakutkan di mana jika kebakaran ini tidak diketahui oleh sesiapa pada waktu itu kemungkinan besar kematian akibat kebakaran mungkin berlaku.


Jika di lihat di dalam keadaan bilik pemadam api, paip air yang diperbuat daripada PVC telah terbakar hangus. Sewaktu kejadian kebakaran berlaku, penduduk berdekatan telah menalipon pihak Bomba meminta bantuan segera.


Mengikut seorang saksi (seorang budak) yang berdekatan, beliau mendengar satu letupan yang kuat berlaku di dalam bilik pemadam api dan beberapa orang budak sempat melihat dua orang lelaki India berlari keluar mengikut tangga turun ke bawah.


Hasil siasatan Pro-Team di tempat kejadian mendapati perbuatan membakar gulung hos air ini sengaja dilakukan oleh dua orang lelaki India yang tidak dikenali mengikut butiran saksi beberapa orang budak yang sedang bermain berdekatan dengan tempat kejadian. 


Sehubungan dengan kejadian sedemikian, penduduk di Bayu Villa haruslah berwaspada dan berhati hati pada setiap masa untuk melihat dan meninjau segala tindak tanduk setengah orang yang tidak dikenali berkeliaran di dalam Bayu Villa.


Perbuatan keji ini dipercayai bertujuan untuk mensabotaj Mesyuarat Agung Luarbiasa (EGM) yang akan diadakan pada 21hb September 2014. 


Adik inilah merupakan orang yang pertama meneriak meminta pertolongan daripada penduduk berdekatan bahawa terdapat kebakaran yang berlaku di tingkat 2. 

Pihak Pro-Team ingin mengucapkan ribuan terima kasih atas keberanian adik ini yang meminta pertolongan sehingga dapat menyelamatkan keadaan kebakaran yang berlaku. 


Beberapa orang budak yang melihat kejadian kebakaran yang berlaku masih sempat membawa Pro-Team melihat sekotak mancis yang ditinggalkan oleh 2 orang lelaki India tersebut.

Dipercayai cubaan membakar gulung hos api menggunakan mancis api tidak berjaya, jadi pemetik api digunakan bagi membakar gulung hos api tersebut. 


Semasa Pro-Team berada di tempat kejadian, lebih kurang dalam masa 20-25 minit pihak Bomba baru sampai di tempat kejadian. 


Oleh kerana kejadian kebakaran ini telah berjaya dipadamkan oleh penduduk, pihak Bomba memeriksa keadaan tempat kejadian serta mengambil gambar akan keadaan tempat pembakaran yang berlaku.