Sunday, November 30, 2014

Bahagian Siasatan Jenayah Komersil. Siasatan Akan Dimulakan.


Pada 21hb Oktober 2014, Bendahari JMB Bayu Villa Encik Lee telah pergi membuat lapuran polis berkenaan kes penyelewengan besar yang telah berlaku ke atas Badan Pengurusan Bersama (JMB) Bayu Villa yang lama.


Lapuran ini dibuat setelah mendapat terlalu banyak tekanan dan desakan daripada penduduk serta penghuni yang menginginkan keadilan dan berharap pesalah tersebut ditangkap dan dibawa ke muka pengadilan mahkamah.


Semasa lapuran itu dibuat, Bendahari JMB Bayu Villa terpaksa berada di Balai Polis Klang selama lebih kurang 3 jam untuk disoal siasat berhubung dengan kes penyelewengan serta tuduhan bahawa Encik Lee ada menyeludup sejumlah wang penyelenggaraan (http://bayuvillaapartment.blogspot.com/2014/10/inspektor-dan-sarjan-jenayah-kolar.html.)


Memandangkan kes ini akan disiasat oleh Bahagian Siasatan Jenayah Komersil, penerangan dan kenyataan yang telah diberikan tidak boleh dikongsi bersama.


Semasa lapuran dibuat pada ketika itu (21hb Oktober 2014) fail tidak dapat dibuka kerana pengesahan daripada pihak COB Klang mengenai status ahli jawatankuasa yang dipilih pada waktu itu masih belum diterima.


Beberapa hari yang lepas surat pengesahan daripada COB Klang telah diserahkan kepada Inspektor Bahagian Siasatan Jenayah Komersil untuk diambil tindakan yang seterusnya.



Saturday, November 29, 2014

Surat Permohonan Membuat Bayaran Tunggakan Melalui Ansuran Kepada TNB


Pembayaran RM 40,000.00 Dijelaskan
....................................................................................

JMB Bayu Villa
D-G-21, Bayu Villa Apartment,
Jalan Batu Unjur 9, Taman Bayu Perdana,
41200 Klang, Selangor.
Tel: 03-3322 1787
Laman Web: bayuvillaapartment.blogspot.com



Pengurus Besar TNB Negeri                                       28hb November 2014

Tuan,

Perkara : Permohonan Membuat Bayaran Tunggakan Melalui Ansuran.

Nombor Akaun : 01400044002701, 01400044002810, 01400044002908, 01400044003001, 01400044003110

Pada 27hb November 2014, Encik Lee Boon Hoe selaku Bendahari JMB Bayu Villa yang telah dipilih dan dilantik untuk menerajui Bayu Villa telah datang dan menghadiri mesyuarat berhubung dengan notis “Kes Tunggakan Dan Pemotongan Bil Elektrik JMB Bayu Villa”  (terima pada 25hb November 2014) di pejabat TNB, Jalan Meru.

Kami difahamkan bahawa pihak pengurusan TNB Klang akan memberi notis kepada Bayu Villa Apartment untuk menjalankan aktiviti pemotongan bekalan elektrik ke atas Bayu Villa Apartment dalam masa yang terdekat ini.

Disini kami ingin meminta jasa baik pihak pengurusan TNB agar menimbang cadangan pemotongan bekalan elektirk tersebut memandangankan ianya tidak dapat membantu dari segi penyelesaian tunggakan malahan ianya akan menyebabkan huru hara yang tidak sepatutnya berlaku memandangkan ada cadangan yang lebih pratikal untuk menyelesaikan tunggakan sekitar RM 500,000.00

Semasa Encik Lee dilantik pada 21hb September 2014, beliau telah cuba beberapa kali pergi ke pejabat TNB Klang untuk berjumpa dengan pihak atasan  supaya mengadakan perjumpaan untuk duduk semeja bagaimana hendak menyelesaikan masalah tunggakan yang sedia ada tetapi beliau  dinasihati oleh Encik Rahman supaya membuat bayaran dahulu bagi menunjukkan keikhlasan dan inisiatif dari Badan Pengurusan Bersama (JMB) Bayu Villa untuk menyelesaikan tunggakan ini.

Sepanjang tempoh selama 2 bulan menerajui JMB Bayu Villa, dengan kerjasama daripada Ahli Jawatankuasa Bersama (JMC) Bayu Villa, kami telah berkomited untuk menyelesaikan segala bil semasa TNB yang diterima. Dalam tempoh 2 bulan tersebut kami telah berupaya menyelesaikan sejumlah bil semasa berjumlah RM 21,499.43 sehingga tarikh 28hb November 2014.  

Pada perjumpaan 27hb November 2014, Bendahari JMB Bayu Villa juga berkomited untuk membuat pembayaran pendahuluan sebanyak RM 40,000.00 sebagai langkah yang pertama bagi memulakan proses perbincangan  bagaimana hendak menyelesaikan tunggakan yang sedia ada.

Buat masa ini, JMB Bayu Villa sedang hangat menjalankan aktiviti mendapatkan tunggakan wang penyelenggaraan daripada pemilik yang sedia ada. Kami telah memulakan langkah dan program bagaimana hendak mengembalikan dan menaikan semula Bayu Villa. Proses sebegini dapat membantu kami mendapatkan hasil tunggakan wang penyelenggaraan sebelum diagih-agihkan kepada semua pemuitang yang sedia ada.

Oleh yang sedemikian kerjasama daripada pihak pengurusan TNB dalam memberi satu peluang kepada JMB Bayu Villa yang baru untuk membantu menyelesaikan tunggakan ini. Disini kami ingin memberi cadangan agar pihak pengurusan TNB dapat menimbang serta memberi peluang kapada pihak pengurusan JMB Bayu Villa dalam mengharungi perjalanan yang berliku ini.  

Cadangan JMB Bayu Villa kepada TNB.

1) Pembayaran pendahuluan (up-front) sebanyak RM 40,000.00 untuk memulakan proses mendapatkan permohonan pembayaran ansuran untuk tunggakan lama.
2)   Pembayaran bil semasa akan terus dilaksanakan setiap bulan.
3) Permohonan meluluskan program pembayaran tunggakan melalui ansuran (installment) sebanyak RM 10,000.00 sebulan.
4)   Permohonan supaya fi penalti yang dikenakan selama ini tidak dikira di dalam akaun bil yang selama ini dicaj keatas akaun JMB Bayu Villa.

Diharap permohonan kali ini dapat diberi pertimbangan yang sewajarnya kerana ianya akan mendatangkan lebih kebaikan daripada menimbulkan keadaan huru hara yang tidak sepatutnya berlaku.

Jika kami Badan Pengurusan Bersama (JMB) Bayu Villa tidak menepati syarat yang dikemukakan, pihak pengurusan TNB wajar dan berhak mengambil tindakan yang selanjutnya dalam mendapatkan segala tunggakan yang sedia ada. 

Kami JMB Bayu Villa yang baru sahaja diberi surat lantikan oleh COB Klang pada 29hb Oktober 2014 ingin memohon maaf atas segala kejadian yang lepas oleh pengurusan JMB Bayu Villa yang lama atas kecuaian mereka menjalankan kewajipan dan tugas mereka dalam melaksanakan tanggung jawab yang telah diamanahkan oleh penghuni di Bayu Villa. 

Keengganan dan kedegilan pengurusan JMB Bayu Villa yang lama dalam menyelesaikan isu tunggkan ini telah mengakibatkan pengurusan JMB Bayu Villa yang baru terpaksa menanggung segala tunggakan yang sedia ada.
  
Baru baru ini Badan Pengurusan Bersama (JMB) Bayu Villa yang baru  telah membuat lapuran polis terhadap Badan Pengurusan Bersama (JMB) Bayu Villa yang lama kerana terdapat elemen elemen penyelewengan wang yang telah berlaku ke atas pengurusan yang lama.

Siasatan yang terperinci akan dijalankan oleh Pihak Polis Siasatan Jenayah Komersial (Klang) terhadap perkara ini.

Sekali lagi, kami ingin memohon maaf keatas segala kesulitan yang timbul sepanjang perjalanan pihak pengurusan TNB bagi mendapatkan tunggakan yang tidak sepatutnya berlaku.

Kerjasama daripada pihak pengurusan TNB dalam menimbang serta menilai keikhlasan kami dalam menyelesaikan segala tunggkan yang sedia ada.

Terima kasih,


Yang benar,




………………………………
Lee Boon Hoe
(Bendahari JMB Bayu Villa)     


cc.     TNB Klang, Jalan Meru
          COB Klang, Majlis Perbandaran Klang

.................................................................................................................


Untuk makluman pembaca blog, pemotongan bekalan elektrik ke atas Bayu Villa akan menyebabkan keseluruhan rumah dan unit di dalam Bayu Villa berada dalam kegelapan walaupun setiap unit ada membuat pembayaran elektrik.

Perkara ini telah disahkan oleh Bendahari JMB Bayu Villa melalui maklumat yang diberikan oleh pihak pengurusan TNB kerana saluran elektrik yang sedia ada tidak boleh membahagi kawasan tempat awam (common area) dengan unit rumah di dalam Bayu Villa.


Jadi bila bekalan elektrik dipotong ianya akan menyebabkan keseluruhan Bayu Villa mengalami kegelapan.


Friday, November 28, 2014

Proses Perbincangan Menghadapi Jalan Buntu. Terpaksa Membuat Permohonan Kepada Pengurus Besar TNB Negeri.


Semalam Bendahari JMB Bayu Villa Encik Lee telah menghadiri sesi perbincangan dengan pegawai tertinggi TNB dari Kuala Lumpur serta Klang bersama sama dengan pegawai COB Klang dan wakil dari KLS Housing Sdn. Bhd, dalam mencari jalan penyelesaian bagaimana hendak menyelesaikan isu tunggakan TNB yang begitu tinggi. Mesyuarat tersebut telah mengambil masa selama lebih kurang 2 jam.  

Sesi perbincangan dihadiri oleh:

1) Pegawai Kewangan Kawasan - Encik Mohd Zul Faez 
2) Pegawai COB Klang - Puan Shafrella Sapardin 
3) Pegawai Jabatan Perkhidmatan Undang Undang dari HQ - Encik Mohamad Nor Fazli Adnan 
4) Pegawai Jabatan Perkhidmatan Undang Undang dari HQ - Cik Noor Faiz bt Jabar
5) Pegawai TNB Klang - Encik Abdul Rahman
6) Wakil dari KLS Housing Sdn. Bhd. - Encik Sazalli Sahat 
7) Bendahari JMB Bayu Villa - Encik Lee Boon Hoe


Sebelum bermulanya sesi perbincangan, Encik Mohd Zul Faez memberi penerangan bahawa tujuan mesyuarat ini diadakan adalah semata mata untuk memberi notis pemberitahuan bahawa pihak TNB Klang telah mendapat arahan daripada pihak atasan TNB Negeri untuk menjalankan proses pemotongan bekalan elektrik keatas Bayu Villa dalam tempoh 2 minggu bermula minggu hadapan selepas notis pemotongan diberikan pada minggu hadapan.


Selepas selesai memberi penerangan Encik Mohd Zul Faez memaklumkan kepada Encik Lee bahawa tindakan tersebut terpaksa dilakukan setelah TNB telah memberi notis sebanyak 25 kali semenjak dahulu sehingga sekarang dan setiap notis tersebut tidak memberi kesan atau impak yang membolehkan TNB mengutip balik tunggakan. Surat akur janji yang ditandatangani juga tidak berkesan untuk memberi sebarang tekanan yang sepatutnya kepada Bayu Villa.

Pada waktu yang sama Encik Lee mula memohon jasa baik pihak pengurusan TNB menilai semula akan arahan daripada pihak atasan kerana ianya tidak dapat membantu dari segi penyelesaian tunggakan malahan ianya akan menyebabkan huru hara yang tidak sepatutnya berlaku memandangkan ada cadangan yang lebih pratikal untuk menyelesaikan tunggakan sekitar RM 500,000.00


Encik Lee menjelaskan kepada pihak TNB bahawa beliau baru sahaja dilantik untuk menerajui Bayu Villa dan tak sampai 2 bulan, JMB Bayu Villa bersama sama dengan ahli jawatankuasanya telah berupaya menjelaskan tunggakan :

1) Syabas RM 45,000.00 (tunggakan lama)
2) Syabas RM 10,000.00 (bayaran ansuran)
3) Syabas RM 15,000.00 (bil semasa)
4) Pejabat Tanah dan Galian RM 47,921.20 (tunggakan Cukai Tanah)
5) TNB RM 21,499.43 (bil semasa)
6) RM 15,000 (pemuitang lain)  

Penerangan juga melibatkan penjelasan bahawa JMB Bayu Villa sekarang melalui satu sistem dan proses bagaimana hendak mendapatkan hasil pendapatan daripada tunggakan wang penyelenggaraan yang sekarang ini nampaknya berjalan dengan lancar. 

Jika pihak pengurusan TNB masih mengambil tindakan memotong bekalan elektrik ianya akan menyebabkan kejatuhan Badan Pengurusan Bersama (JMB) Bayu Villa. Jika kali ini JMB Bayu Villa tidak diberi peluang untuk melaksanakan program pengutipan hasil, Bayu Villa akan jatuh muflis dan tidak mungkin dapat diselamatkan lagi jika pihak pengurusan TNB masih meneruskan arahan daripada pihak atasan.

Encik Lee juga meminta kepada pihak pengurusan TNB supaya membuat permohonan dan perbincangan dengan pihak atasan. Penjelasan juga diberikan kepada pihak pengurusan TNB bahawa mesyuarat kali ini adalah untuk mencari jalan penyelesaian melalui pelan ansuran yang difikirkan sesuai bagi pihak pengurusan JMB Bayu Villa dengan TNB dan bukannya datang mendengar mengenai pemberitahuan notis.

Encik Lee juga menjelaskan jika pihak pengurusan TNB menghendaki JMB Bayu Villa membayar anggaran RM 100,000.00 atau menyelesaikan segala tunggakan dalam setahun, ianya adalah amat mustahil. 

Sehingga hari ini akaun bank JMB Bayu Villa masih tidak dapat digunakan lagi kerana pihak Hong Leong Bank Berhad masih memproses dokumen dan menunggu kelulusan COB Klang sebelum membenarkan penggunaan akaun tersebut.


Setelah penjelasan demi penjelasan diberikan, Encik Mohd Zul Faez masih menekankan bahawa mesyuarat kali ini adalah lebih kepada pemberitahuan mengenai "Notis pemotongan bekalan ke atas keseluruhan Bayu Villa".

Encik Lee sekali lagi memberi penjelasan kepada Encik Mohd Zul Faez jika tindakan memotong bekalan elektrik cuma dijalankan di kawasan tempat awam (common area), beliau tidak mempunyai sebarang masalah ke atas pemotongan tersebut tetapi jika pemotongan bekalan elektrik ke atas tempat awan melibatkan pemotongan bekalan elektrik terus ke atas rumah kediaman ianya adalah tidak adil sama sekali kerana penghuni di sana ada membayar bekalan elektrik terus kepada pihak TNB. 

Encik Mohd Zul Faez menerangkan ini adalah arahan daripada pihak pengurusan atasan di Kuala Lumpur. Jika ingin menyelesaikan isu ini permohonan bertulis harus dikemukakan kepada TNB Negeri. 


Pada waktu yang sama Pegawai COB Klang Puan Shafrella memberi cadangan dan idea yang bernas serta memberi penjelasan bahawa tindakan TNB memotong terus bekalan elektrik tidak dapat menyelesaikan masalah malahan akan mengundang satu masalah yang besar yang mungkin boleh menyebabkan kemarahan penghuni penghuni di Bayu Villa.

Beliau mencadangkan agar JMB Bayu Villa menulis sepucuk surat permohonan kepada TNB Negeri serta membuat bayaran pendahuluan atau up-front sebagai proses mendapat timbang rasa dari pihak atasan dalam memohon pelan ansuran daripada TNB Negeri.

Memandangkan perbincangan ini tidak dapat juga mencari jalan penyelesaian, Encik Lee menawarkan kepada TNB bahawa pembayaran pendahuluan (up-front) sebanyak RM 40,000.00 yang akan dibayar pada hari esok dan memohon agar pihak pengurusan memberi peluang kepada pengurusan baru JMB Bayu Villa menguruskan Bayu Villa supaya ianya dapat diselamatkan.

Encik Lee juga menjelaskan bahawa pembayaran pendahuluan ini akan menggunakan sebahagian wang peribadinya bagi menyelesaikan isu ini.



Walaupun pembayaran RM 40,000.00 yang dijanjikan menggunakan sebahagian wang persendirian Encik Lee, pihak pengurusan TNB masih memberi jawapan yang sama bahawa notis pemberitahuan pemotongan bekalan akan juga diberikan pada minggu hadapan tetapi jika surat permohonan telah sampai di TNB Negeri dan mendapat kelulusan daripada pihak TNB Negeri, TNB Klang akan bertindak mengikut arahan TNB Negeri. 

Pihak pengurusan TNB berpesan jika RM 40,000.00 sudah dibayar tetapi selagi TNB Negeri tidak memberi kelulusan, pemotongan tetap akan dijalankan. Jadi pembayaran pendahuluan (up-front) ini tidak menjanjikan bahawa proses pemotongan tidak akan berlaku.

Encik Lee menjelaskan tunggakan tetap tunggakan, ianya perlu dibayar lambat laun juga. Apa salahnya jika JMB Bayu Villa  membayarnya sekarang? Sekurang kurangnya ianya dapat mengurangkan jumlah tunggakan yang sedia serta mendapat pertimbangan daripada TNB Negeri. 

KLS Housing Sdn. Bhd.

Sehubungan itu wakil dari KLS Housing Sdn. Bhd, Encik Sazalli Sahat yang datang menghadiri mesyuarat tersebut, mendengar segala proses perbincangan selama 2 jam dan akhirnya mendapat taklimat daripada seorang pegawai Jabatan Perkhidmatan Undang Undang TNB memberitahu bahawa KLS Housing Sdn Bhd akan berhadapan dengan kes perbicaraan dengan pihak mahkamah yang boleh menyebabkan KLS Housing Sdn. Bhd. disaman sehingga muflis jika bayaran tersebut tidak dapat dijelaskan memandangkan bil TNB adalah atas nama mereka.

Mengikut pemahaman dari pegawai tersebut, sebanyak 4 akaun TNB akan dibicarakan di dalam mahkamah yang melibatkan Blok A, B, C dan D. Pihak pengurusan TNB sekarang berada dalam proses menfailkan perbicaraan mahkamah untuk bil akaun Blok E.


Di akhir perjumpaan, pihak pengurusan TNB menjemput Encik Lee untuk makan tengahari bersama dengan pihak pengurusan TNB. Walaupun makanan yang disediakan (nasi lemak) tidak seberapa, tetapi Encik Lee merasakan harga sepinggan nasi lemak pada tengahari itu adalah berharga RM 40,000.00. Memang mahal sangat makanan nasi lemak yang dihidangkan pada tengahari itu. 

Walaupun ianya lazat dan harum, harga RM 40,000.00 untuk sepinggan nasi lemak tanpa hidangan seketul ayam goreng ataupun sotong memang betul betul mahal tetapi sekurang kurangnya ianya dapat menahan lapar sehingga lewat petang. 

Proses Penguncian Motosikal Telah Bermula. Kesalahan Boleh Menyebabkan Denda Sebanyak RM 30.00


Perlaksanaan pemberian notis amaran ke atas motosikal yang meletakan motosikal mereka sesuka hati. Perlaksanaan ini amatlah perlu kerana ianya melibatkan ketidak-selesaan kepada setiap penghuni rumah.



Bagi setiap motosikal yang diletak didalam kawasan ruangan legar, pihak pengawal keselamatan akan memberi amaran yang pertama dan yang terakhir. Jika kesalahan diulangi lagi pihak pengawal keselamatan akan mengunci motosikal tersebut dan proses membuka kunci tersebut akan menyebabkan bayaran sebanyak RM 30.00 dikenakan.




Perkara ini harus dibendung sebelum ruangan legar menjadi seperti rumah kos rendah yang dipenuhi oleh motosikal yang tak sepatutnya berada di dalam.




Badan Pengurusan Bersama (JMB) Bayu Villa memandang berat akan masalah ini dan telah mengarahkan agar pengawal keselamatan Bayu Villa menjalankan tugas dengan tegas dan saksama.





Bagi penduduk yang masih bimbang akan kebersihan dan kedudukan ruangan legar masing masing, bolehlah membuat lapuran atau mengambil gambar dan terus hantar kepada Pegawai Keselamatan Encik Mohd Rashid supaya tindakan dapat diambil dengan secepat yang mungkin.



Thursday, November 27, 2014

Proses Pembayaran Tunggakan Syarikat Pembersihan Bermula. Tunggakan RM 32,520.00

Proses pembayaran tunggakan kepada syarikat TS Sun Shine Cleaning Service telah bermula dengan setiap pembayaran ansuran sebanyak RM 2,000.00 sebulan. Untuk proses permulaan pembayaran permulaan adalah sebanyak RM 4,520.00 di tolak dengan tunggakan RM 32,520.00, jadi jumlah tunggakan adalah sebanyak RM 28,000.00 di bahagi kepada 14 bulan untuk menyelesaikannya.



Sehubungan dengan itu segala tunggakan yang ada telah dibawa ke meja perbincangan untuk berbincang serta menyelesaikan segala tunggakan yang ada.

Komitmen Bayu Villa Setiap Bulan Ke Atas Tunggakan

1) Syabas - RM 10,000.00
2) Reeliance Security Services Sdn. Bhd - RM 5,000.00
3) TS Sun Shine Cleaning Service - RM 2,000.00
4) Shinyou Elevator Mfg. Sdn Bhd - RM 2,000.00
5) Tenaga Nasional Berhad - Dalam Perbincangan (mungkin RM 10,000.00)

Anggaran RM 30,000.00 Sebulan

Komitmen Anggaran Bayu Villa Setiap Bulan Ke Atas Pembayaran Perkhidmatan

1) Pengawal Keselamatan - RM 10,000.00
2) Syarikat Perkhidmatan Penyelenggaraan - RM 14,000.00
3) Syarikat Perkhidmatan Pembersihan - RM 7,200.00
4) Syarikat Perkhidmatan Penyelenggaraan Lif - RM 2,400.00
5) Tenaga Nasional Berhad - RM 10,000.00
6) Syabas - RM 25,000.00
7) Wony Sdn Bhd - RM 2,182.50
8) Lain lain - RM 15,000.00 (Kerosakan pam, paip pecah, penyelenggaraan lif - spare parts, talipon dan sebagainya) 

Anggaran RM 85,782.50 Sebulan

Jika bayaran diterima penuh (Anggaran Sebulan)

Penerimaan 760 unit X RM 100.00 = RM 76,000.00
Penerimaan Wang Air = RM 20,000.00 

Bolehkah Bayu Villa mengharungi rintangan serta perjalanan yang berliku ini?

Proses Pemotongan Bekalan Air Di Blok B Bermula. Fasa Kedua - 30 Unit Rumah Terlibat.

Proses pemotongan bekalan air di Blok B berjalan dengan lancar tanpa sebarang insiden yang tidak diingini berlaku. Hari ini sahaja JMB Bayu Villa telah memotong 30 unit rumah yang mempunyai tunggakan RM 500.00 keatas.
 



Sehingga jam 7.00 petang terdapat 5 unit rumah datang membuat pembayaran pemasangan semula sebanyak RM 50.00 bersamaan dengan pembayaran tunggakan wang penyelenggaraan sebanyak RM 500.00
 
 
 

Buat masa ini proses pemotongan kali kedua akan dijalankan di Blok B pada hari Jumaat (28.11.2014) sehingga kesemua tunggakan wang penyelenggaraan dapat dijelaskan.
 
 
 
Minggu depan JMB Bayu Villa akan menjalankan proses pemotongan bekalan air di Blok C. Proses pemotongan bekalan air di Blok C akan dimulakan pada hari Selasa (02.12.2014).

Wednesday, November 26, 2014

Proses Melekatkan Jubin Lif Yang Baru Telah Siap Dilaksanakan.

Proses pembaikian melekatkan semula jubin lif di Blok A telah siap. Setelah diperiksa dengan terperinci didapati tiada lagi jubin lif yang longgar.


Diharap semua penduduk serta penghuni segera membuat lapuran kepada pejabat pengurusan (03-33221787) jika terdapat sebarang kerosakan yang boleh mendatangkan bahaya kepada sesiapa sahaja. 


Kos perbelanjaan keseluruhan memperbaiki jubin lif ini berjumlah RM 250.00. Dinding juga dicat dengan cat yang baru supaya nampak lebih bersih dan teratur.


Mesyuarat Perbincangan Kes Tuntutan Tunggakan Dan Pemotongan Bil Electrik JMB Bayu Villa


Semalam Badan Pengurusan Bersama (JMB) Bayu Villa telah menerima sepucuk surat daripada Tenaga Nasional Berhad berhubung dengan tunggakan sebanyak lebih kurang RM 500,000.00 atau setengah juta ringgit (half a million ringgit).
 
Penerimaan surat ini adalah untuk sesi perbincangan berkaitan tunggakan dan pemotongan bekalan elektrik ke atas Bayu Villa.  
 
 
Perbincangan ini amatlah penting kerana ianya akan memainkan peranan yang amat penting dalam menilai sejauh manakah Bayu Villa dapat mengharungi perjalanan yang berliku ini.
 
Jika perbincangan ini menemui jalan kebuntuan, kemungkinan besar Bayu Villa tidak dapat diselamatkan lagi kerana berdasarkan kepada tunggakan yang sedia ada, ianya amatlah mustahil jika pembayaran ansuran yang diminta oleh TNB melebihi RM 10,000.00
 
Tarikh masa perjumpaan : 27 November 2014 (Khamis)
Masa : 10.00 pagi
Tempat : Bilik Mesyuarat TNB, Klang

Tuesday, November 25, 2014

Tunggakan Kepada Syarikat Pengawal Keselamatan - RM 145,485.00


Akhirnya syarikat pengawal keselamatan (Reeliance Security Services Sdn. Bhd) telah datang berjumpa dengan Badan Pengurusan Bersama (JMB) Bayu Villa mengenai tunggakan pembayaran perkhidmatan pengawal keselamatan setelah sekian lama telah berlalu.


Pada permulaan dalam proses perbincangan JMB Bayu Villa cuba menyakinkan kepada syarikat pengawal keselamatan supaya menerima pelan ansuran kerana tiada jalan yang terbaik dalam menyelesaikan isu tunggakan ini.

JMB Bayu Villa juga menerangkan jika peluang tidak diberi kepada Badan Pengurusan Bersama (JMB) Bayu Villa, kemungkinan besar JMB Bayu Villa akan berada status muflis jika syarikat pengawal keselamatan  masih berdegil untuk menyelesaikan tunggakan ini dalam masa lima bulan.


Keseluruhan tunggakan berjumlah RM 145,485.00. Dalam proses perbincangan yang dijalankan, kedua pihak akhirnya bersetuju untuk mengadakan pelan pembayaran ansuran sebanyak 29 kali dengan pembayaran pertama berjumlah RM 5,485.00 dan setiap bayaran ansuran seterusnya berjumlah RM 5,000.00 setiap bulan.

Memang payah juga untuk Badan Pengurusan Bersama (JMB) Bayu Villa yang terpaksa mengharungi tunggakan lama dan komitmen yang begitu tinggi pada setiap bulan untuk menyelesaikan isu tunggakan yang dibawa oleh pengurusan lama.

Kemanakah wang yang dikutip oleh pihak pengurusan lama sehinggakan tunggakan demi tunggakan yang jarang diselesaikan ????????????????????????????????????????????

Monday, November 24, 2014

Amaran Akan Diberikan Sebelum Dikunci. Motosikal Diletak Di Kawasan Larangan.


Kebelakangan ini kita dapat lihat begitu banyak sekali motosikal diletak secara sesuka hati tanpa memikirkan kebersihan kawasan dalaman ruangan legar.




Keadaan ini amat menjijikan serta menyusahkan orang ramai. Oleh kerana terdapat begitu banyak aduan daripada penghuni, Badan Pengurusan Bersama (JMB) Bayu Villa terpaksa mengambil tindakan yang lebih ketat.






Bagi setiap motosikal yang diletak didalam kawasan ruangan legar, pihak pengawal keselamatan akan memberi amaran yang pertama dan yang terakhir. Jika kesalahan diulangi lagi pihak pengawal keselamatan akan mengunci motosikal tersebut dan proses membuka kunci tersebut akan menyebabkan bayaran sebanyak RM 30.00 dikenakan. 



Diharap semua penunggang motosikal mengambil perhatian yang serius mengenai masalah yang tidak seharusnya berlaku.