Thursday, January 29, 2015

Mesyuarat Bersama TNB Negeri Berhubung Pelan Pembayaran Ansuran. Suasana Perbincangan Tegang.

Pada hari Isnin (26.01.2015) Bendahari JMB Bayu Villa Encik Lee bersama dengan Pengerusi Persatuan Penduduk Bayu Villa Encik Salim bin Alias telah pergi ke pejabat TNB Negeri di Taipan, USJ, Subang Jaya untuk membincangkan isu tunggakan pelan pembayaran ansuran yang telah beberapa kali terbengkalai di bahagian TNB Cawangan Klang.

Kes ini terpaksa dirujuk kepada pihak atasan yang lebih tinggi lagi iaitu TNB Negeri yang berpusat di Wisma TNB Subang Jaya. 


Maklumat terperinci di dalam perbincangan. 

Jam 11.45 pagi. Perbincangan bermula dengan pengenalan sesama sendiri. Kali ini perbincangan melibatkan Pengurus Besar TNB Negeri Selangor Encik Bahar, Setiausaha Puan Rozanna, Pegawai Pemungatan Hasil Encik Mohd Zul Faez.

Sesi bermula dengan penerangan oleh Bendahari JMB Bayu Villa Encik Lee berkenaan status sebenar apakah yang berlaku dan kenapa pihak TNB harus membantu Bayu Villa mengharungi kesusahan yang dialami oleh Badan Pengurusan Bersama (JMB) Bayu Villa.

Setelah mendengar segala penerangan, pihak TNB tidak bersetuju dengan cadangan JMB Bayu Villa bahawa pelan pembayaran ansuran sebanyak RM10,000.00 sebulan adalah sama sekali tidak boleh diterima oleh pihak TNB Negeri kerana ianya terlalu jauh di bidang kuasa TNB Negeri.

Pengurus Negeri menerangkan bahawa cadangan TNB Negeri ialah memberi pelan pembayaran ansuran sebanyak 15 kali dan keputusan ini adalah yang terbaik jika dibandingkan dengan pelan pembayaran ansuran asal sebanyak 12 kali. 

Encik Lee menerangkan bahawa pelan pembayaran ansuran sebanyak 15 kali tidak dapat dilaksanakan memandangkan komitmen yang begitu besar yang harus dilalui oleh JMB Bayu Villa. 


Jika RM 407,000.00 / 15 kali = RM27,000.00 sebulan campur bil semasa dalam anggaran RM12,000.00 sebulan. Jumlah keseluruhan adalah sebanyak RM39,000.00. Tidak mungkin JMB Bayu Villa dapat berjaya mengharungi halangan ini.

Encik Lee menegaskan walaupun diberi tawaran sebanyak 20 kali pun JMB Bayu Villa tidak mampu membuat bayaran. Setiap kali perbincangan pihak TNB nenekankan Encik Lee supaya menerima cadangan tersebut, Encik Lee menolak habis habisan cadangan tersebut. 

Encik Lee menerangkan komitmen seperti pembayaran kepada Syabas sebanyak RM35,000.00 harus di selesaikan setiap bulan dan jika pihak Syabas boleh bersetuju menerima pelan ansuran sebanyak RM10,000.00 sebulan dan kenapa pihak TNB tidak boleh berbuat demikian? Malahan Encki Lee menerangkan masih terdapat kos kos perbelanjaan yang harus ditanggung bagi memastikan JMB Bayu Villa dapat beroperasi.

Dengan lantas Encik Bahar menyatakan jika pihak JMB Bayu Villa boleh membuat pembayaran sebanyak RM 35,000.00 kepada pihak Syabas kenapa pula tidak boleh membuat bayaran kepada pihak TNB sebanyak RM35,000.00. Encik Lee menerangkan bahawa bil semasa Syabas ialah RM25,000.00 dicampur dengan pembayaran tunggakan sebanyak RM10,000.00 jadi angka itu meningkat kepada RM35,000.00. 

Pengerusi Persatuan Penduduk Encik Salim juga menyuarakan kesanggupan JMB Bayu Villa adalah terhad dan pihak Persatuan sedang berusaha untuk bekerjasama dengan pihak JMB dalam menangani masalah yang timbul.

Encik Lee juga menerangkan tunggakan penghuni keatas JMB Bayu Villa ialah dalam anggaran RM 780,000.00 dan pihak JMB Bayu Villa sedang berusaha mendapatkan tunggakan tersebut dengan menjalankan aktiviti pemotongan bekalan air.

Pegawai TNB yang hadir juga menyarankan supaya Encik Salim sebagai Pengerusi Persatuan haruslah memainkan peranan yang lebih penting dalam memastikan penghuni penghuni membayar tunggakan dan membantu JMB Bayu Villa. 

Boleh dikatakan sesi perbincangan ini melalui satu perbahasan yang amat panjang di mana pihak TNB Negeri menekan Bendahari JMB Bayu Villa berkali kali supaya menerima pelan pembayaran ansuran yang dikemukan oleh TNB Negeri. Encik Lee dengan ketetapannya menekankan jika pihak TNB masih ingin menekan pembayaran selama 15 bulan, maka JMB Bayu Villa tidak boleh berbuat apa apa.


Encik Lee juga berkali kali meminta kerjasama daripada pihak TNB Negeri agar memberi perlepasan kepada JMB Bayu Villa dan menekankan bahawa JMB Bayu Villa memang mempunyai niat hendak membuat bayaran dan bukan sekadar datang membawa tangan kosong. Semenjak mengambil alih, JMB Bayu Villa telah membayar TNB sebanyak RM70,000.00 dalam tunggakan dan bil semasa tiga bulan RM30,000.00 telah dijelaskan.  

Sewaktu perbincangan juga, Encik Lee juga bertanyakan kepada pihak TNB Negeri kenapa mengambil tindakan yang begitu drastik memotong bekalan elektrik setelah surat rayuan telah dikemukan kepada TNB Negeri? Setiausaha Puan Rozanna menjawab bahawa pihak TNB Negeri tidak menerima sebarang surat rayuan atau penjelasan daripada JMB Bayu Villa. Bagi mengukuhkan penghantaran surat itu memang ada dibuat, Encik Lee meminta Encik Mohd Zul Faez supaya memberi surat salinan berserta dengan cop penerimaan bahawa TNB Meru ada menerima salinan surat tersebut.

Di dalam perbincangan tersebut Encik Lee juga mengutarakan kenapa pihak TNB tidak mengambil tindakan yang sepatutnya apabila tunggakan melebihi ratusan ribu. Kenapa nak diberi kelonggaran yang begitu lama sehingga menyebabkan apa yang berlaku hari ini?

Setelah proses perbincangan mengalami jalan buntu, Encik Bahar meminta Encik Lee membuat tawaran baru supaya proses perbincangan mengenai pelan pembayaran ansuran dapat diselesaikan. Encik Lee memberi tawaran baru bahawa pembayaran balik kepada TNB daripada 40 kali dikurangkan kepada 30 kali tetapi cadangan tersebut ditolak habis habisan oleh TNB Negeri kerana Pengurus TNB Negeri menyatakan beliau tidak mempunyai mandat yang begitu tinggi.

Perbahasan berterusan dengan kedua dua pihak tidak mahu mengundurkan diri dan masing masing cuba memainkan peranan di mana satu pihak cuba mengutip tunggakan dengan secepat yang mungkin dan di satu pihak lagi cuba melambatkan proses pembayaran ansuran bagi menyelamatkan situasi dan keadaan di Bayu Villa.

Pihak TNB Negeri juga menekankan pembayaran harus dijelaskan mengikut ketetapan TNB Negeri dan meminta JMB Bayu Villa cuba mendapatkan segala dana yang ada daripada pihak kerajaan negeri jika ianya perlu melibatkan YB ataupun Adun supaya menolong JMB Bayu Villa menyelesaikan masalah ini. Mengikut informasi yang didapati daripada COB Klang, sememangnya pihak kerajaan negeri ada memperuntukan sebahagian dana untuk pemulihan pengsapuri.

Encik Lee tidak bersetuju dengan cadangan tersebut dan menekankan proses peruntukan ini cuma untuk pengsapuri yang berharga kos rendah iaitu nilai pengsapuri tersebut dibawah RM 80,000.00 dan peruntukan itu cuma untuk kerja memperbaiki segala kerosakan yang sedia ada seperti lif, tangki air ataupun litaran elektrik yang lama. Dalam peruntukan tersebut tidak termaktub pembayaran bil tunggakan seperti Cukai Tanah, bil Elektrik dan bil Syabas ada di beri peruntukan?

Pihak TNB Negeri tidak ingin mendengar penjelasan Encik Lee dan menekankan kalau tidak dicuba atau dipohon, kenapa JMB Bayu Villa mengatakan tidak boleh mendapatkan peruntukan? Pengurus Besar Negeri Encik Bahar menerangkan pihak TNB Negeri akan memberi satu jangkamasa yang secukupnya untuk JMB Bayu Villa mendapatkan peruntukan tetapi surat aku-janji harus ditanda tangani.


Memandangkan soalan ini tidak mempunyai jalan penyelesaian setelah ditekan beberapa kali, Encik Lee bersetuju dengan cadangan pihak TNB Negeri tetapi dengan syarat.

Dengan lantang Encik Lee menyuarakan persetujuannya dengan pembayaran balik sebanyak 15 kali dengan surat aku-janji sekali tetapi bertanya kepada pihak TNB jika proses mendapatkan peruntukan daripada mana mana pihak menemui jalan buntu, apakah TNB Negeri akan lakukan dan bagaimana TNB Negeri boleh membantu JMB Bayu Villa dalam keadaan situasi sebegini jika tiada peruntukan? 

Kesemua lima lima pegawai termasuk Pengurus Negeri yang tertinggi duduk diam seketika dan tidak dapat memberi jawapan ke atas soalan yang dikemukan. 

"Bukan tidak boleh ditanda tangani surat aku-janji tetapi jika dana peruntukan tidak boleh diperolehi daripada mana mana pihak, maka TNB Negeri pun tidak boleh berbantu apa apa, akhirnya JMB Bayu Villa yang akan menghadapi kesengsaraan."

Memandangkan cadangan ini tidak boleh diguna pakai, Encik Lee membuat tawaran yang baru RM15,000.00 sebulan untuk menjelaskan tunggakan tersebut. Cadangan tersebut ditolak lagi oleh Pengurus Negeri. Encik Lee menerangkan bahawa ini merupakan tawaran yang penghabisan dan tawaran ini tidak akan berganjak lagi kerana tawaran ini adalah di luar jangkaan JMB Bayu Villa. 

Setelah bertekak dan berbincang dengan begitu lama, jalan penyelesaian tetap tidak dapat dicapai. Pihak TNB Negeri memberi kata putus memandangkan tiada persetujuan dicapai bahawa pemotongan bekalan elektrik akan dilakukan. Encik Lee menegaskan terpulanglah kepada TNB apakah yang harus dilakukan kerana keupayaan JMB Bayu Villa adalah terhad tetapi ingat "Jangan melibatkan bekalan elektrik penghuni".

Pengurus Negeri meminta agar JMB membuat sedikit lagi tambahan kepada angka RM15,000.00 supaya kata putus boleh dipersetujui. Setelah diminta beberapa kali akhirnya Encik Lee menambahkan jumlah pembayaran ansuran sebanyak RM16,000.00 sebulan, tambahan seribu ringgit. "Ada tambah jangan kata tak tambah"

Pengurus Negeri menyarankan bahawa jumlah itu terlalu kecil jika boleh tambah lagi. Encik Lee menyatakan tidak mungkin JMB akan menaikan jumlah itu lagi. Selepas itu pihak TNB Negeri memberi cadangan supaya tunggakan itu diselesaikan sebanyak 24 kali di bawah kuasa mandat yang ada pada Pengurus Negeri.

Memandangkan perbezaan pembayaran RM16,000.00 sebulan yang mengambil masa selama 25 bulan lebih dijadikan kepada 24 kali bayaran maka Encik Lee bersetuju dengan syarat bahawa selepas surat aku-janji ditanda tangani segala caj penalti yang baru untuk tunggukan yang lama haruslah diberhentikan.

Pihak TNB tidak bersetuju bahawa caj penalti tidak boleh dikecualikan kerana ianya termaktub di dalam akta TNB. Encik Lee menyatakan jika caj penalti juga dikenakan selepas surat aku-janji ditanda tangani maka penjanjian ini tidak akan dipersetujui. 

Encik Lee dengan rasa tidak puas hati mengatakan TNB sama sahaja seperti "AH LONG", sudah dipersetujui pelan pembayaran ansuran, akaun TNB Bayu Villa masih lagi hendak dikenakan caj penalti ke atas tunggakan lama. Ini adalah tidak adil sama sekali. 

Pengurus Negeri dengan suara yang tidak puas hati meminta Encik Lee supaya berhati hati apabila menggunakan perkataan "AH LONG" sebab TNB bukan "AH LONG". Oleh kerana isu ini telah sampai kesuatu tahap perbincangan yang amat tegang, Encik Lee meminta maaf atas kata katanya dan menarik balik perkataan tersebut. 



Encik Lee menegaskan jika pihak TNB Negeri tidak berupaya memansuhkan caj penalti selepas surat aku-janji ditanda tangani maka JMB Bayu Villa tidak akan membuat sebarang pembayaran lagi.

Akhirnya pihak TNB Negeri terpaksa akur dengan kehendak permintaan Encik Lee dan meminta Encik Lee menulis sepucuk surat rayuan yang akan dihantar kepada TNB Negara di Bangsar bagi mendapatkan kebenaran mengecualikan bayaran caj penalti baru keatas tunggakan yang lama. Tetapi proses permohonan ini perlu mendapatkan kebenaran daripada pihak atasan.

No comments:

Post a Comment