Semalam Bendahari JMB Bayu Villa Encik Lee telah menghadiri sesi perbincangan dengan pegawai tertinggi TNB dari Kuala Lumpur serta Klang bersama sama dengan pegawai COB Klang dan wakil dari KLS Housing Sdn. Bhd, dalam mencari jalan penyelesaian bagaimana hendak menyelesaikan isu tunggakan TNB yang begitu tinggi. Mesyuarat tersebut telah mengambil masa selama lebih kurang 2 jam.
Sesi perbincangan dihadiri oleh:
1) Pegawai Kewangan Kawasan - Encik Mohd Zul Faez
2) Pegawai COB Klang - Puan Shafrella Sapardin
3) Pegawai Jabatan Perkhidmatan Undang Undang dari HQ - Encik Mohamad Nor Fazli Adnan
4) Pegawai Jabatan Perkhidmatan Undang Undang dari HQ - Cik Noor Faiz bt Jabar
5) Pegawai TNB Klang - Encik Abdul Rahman
6) Wakil dari KLS Housing Sdn. Bhd. - Encik Sazalli Sahat
7) Bendahari JMB Bayu Villa - Encik Lee Boon Hoe
Sebelum bermulanya sesi perbincangan, Encik Mohd Zul Faez memberi penerangan bahawa tujuan mesyuarat ini diadakan adalah semata mata untuk memberi notis pemberitahuan bahawa pihak TNB Klang telah mendapat arahan daripada pihak atasan TNB Negeri untuk menjalankan proses pemotongan bekalan elektrik keatas Bayu Villa dalam tempoh 2 minggu bermula minggu hadapan selepas notis pemotongan diberikan pada minggu hadapan.
Selepas selesai memberi penerangan Encik Mohd Zul Faez memaklumkan kepada Encik Lee bahawa tindakan tersebut terpaksa dilakukan setelah TNB telah memberi notis sebanyak 25 kali semenjak dahulu sehingga sekarang dan setiap notis tersebut tidak memberi kesan atau impak yang membolehkan TNB mengutip balik tunggakan. Surat akur janji yang ditandatangani juga tidak berkesan untuk memberi sebarang tekanan yang sepatutnya kepada Bayu Villa.
Pada waktu yang sama Encik Lee mula memohon jasa baik pihak pengurusan TNB menilai semula akan arahan daripada pihak atasan kerana ianya tidak dapat membantu dari segi penyelesaian tunggakan malahan ianya akan menyebabkan huru hara yang tidak sepatutnya berlaku memandangkan ada cadangan yang lebih pratikal untuk menyelesaikan tunggakan sekitar RM 500,000.00
Encik Lee menjelaskan kepada pihak TNB bahawa beliau baru sahaja dilantik untuk menerajui Bayu Villa dan tak sampai 2 bulan, JMB Bayu Villa bersama sama dengan ahli jawatankuasanya telah berupaya menjelaskan tunggakan :
1) Syabas RM 45,000.00 (tunggakan lama)
2) Syabas RM 10,000.00 (bayaran ansuran)
3) Syabas RM 15,000.00 (bil semasa)
4) Pejabat Tanah dan Galian RM 47,921.20 (tunggakan Cukai Tanah)
5) TNB RM 21,499.43 (bil semasa)
6) RM 15,000 (pemuitang lain)
Penerangan juga melibatkan penjelasan bahawa JMB Bayu Villa sekarang melalui satu sistem dan proses bagaimana hendak mendapatkan hasil pendapatan daripada tunggakan wang penyelenggaraan yang sekarang ini nampaknya berjalan dengan lancar.
Jika pihak pengurusan TNB masih mengambil tindakan memotong bekalan elektrik ianya akan menyebabkan kejatuhan Badan Pengurusan Bersama (JMB) Bayu Villa. Jika kali ini JMB Bayu Villa tidak diberi peluang untuk melaksanakan program pengutipan hasil, Bayu Villa akan jatuh muflis dan tidak mungkin dapat diselamatkan lagi jika pihak pengurusan TNB masih meneruskan arahan daripada pihak atasan.
Encik Lee juga meminta kepada pihak pengurusan TNB supaya membuat permohonan dan perbincangan dengan pihak atasan. Penjelasan juga diberikan kepada pihak pengurusan TNB bahawa mesyuarat kali ini adalah untuk mencari jalan penyelesaian melalui pelan ansuran yang difikirkan sesuai bagi pihak pengurusan JMB Bayu Villa dengan TNB dan bukannya datang mendengar mengenai pemberitahuan notis.
Encik Lee juga menjelaskan jika pihak pengurusan TNB menghendaki JMB Bayu Villa membayar anggaran RM 100,000.00 atau menyelesaikan segala tunggakan dalam setahun, ianya adalah amat mustahil.
Sehingga hari ini akaun bank JMB Bayu Villa masih tidak dapat digunakan lagi kerana pihak Hong Leong Bank Berhad masih memproses dokumen dan menunggu kelulusan COB Klang sebelum membenarkan penggunaan akaun tersebut.
Setelah penjelasan demi penjelasan diberikan, Encik Mohd Zul Faez masih menekankan bahawa mesyuarat kali ini adalah lebih kepada pemberitahuan mengenai "Notis pemotongan bekalan ke atas keseluruhan Bayu Villa".
Encik Lee sekali lagi memberi penjelasan kepada Encik Mohd Zul Faez jika tindakan memotong bekalan elektrik cuma dijalankan di kawasan tempat awam (common area), beliau tidak mempunyai sebarang masalah ke atas pemotongan tersebut tetapi jika pemotongan bekalan elektrik ke atas tempat awan melibatkan pemotongan bekalan elektrik terus ke atas rumah kediaman ianya adalah tidak adil sama sekali kerana penghuni di sana ada membayar bekalan elektrik terus kepada pihak TNB.
Encik Mohd Zul Faez menerangkan ini adalah arahan daripada pihak pengurusan atasan di Kuala Lumpur. Jika ingin menyelesaikan isu ini permohonan bertulis harus dikemukakan kepada TNB Negeri.
Pada waktu yang sama Pegawai COB Klang Puan Shafrella memberi cadangan dan idea yang bernas serta memberi penjelasan bahawa tindakan TNB memotong terus bekalan elektrik tidak dapat menyelesaikan masalah malahan akan mengundang satu masalah yang besar yang mungkin boleh menyebabkan kemarahan penghuni penghuni di Bayu Villa.
Beliau mencadangkan agar JMB Bayu Villa menulis sepucuk surat permohonan kepada TNB Negeri serta membuat bayaran pendahuluan atau up-front sebagai proses mendapat timbang rasa dari pihak atasan dalam memohon pelan ansuran daripada TNB Negeri.
Memandangkan perbincangan ini tidak dapat juga mencari jalan penyelesaian, Encik Lee menawarkan kepada TNB bahawa pembayaran pendahuluan (up-front) sebanyak RM 40,000.00 yang akan dibayar pada hari esok dan memohon agar pihak pengurusan memberi peluang kepada pengurusan baru JMB Bayu Villa menguruskan Bayu Villa supaya ianya dapat diselamatkan.
Encik Lee juga menjelaskan bahawa pembayaran pendahuluan ini akan menggunakan sebahagian wang peribadinya bagi menyelesaikan isu ini.
Walaupun pembayaran RM 40,000.00 yang dijanjikan menggunakan sebahagian wang persendirian Encik Lee, pihak pengurusan TNB masih memberi jawapan yang sama bahawa notis pemberitahuan pemotongan bekalan akan juga diberikan pada minggu hadapan tetapi jika surat permohonan telah sampai di TNB Negeri dan mendapat kelulusan daripada pihak TNB Negeri, TNB Klang akan bertindak mengikut arahan TNB Negeri.
Pihak pengurusan TNB berpesan jika RM 40,000.00 sudah dibayar tetapi selagi TNB Negeri tidak memberi kelulusan, pemotongan tetap akan dijalankan. Jadi pembayaran pendahuluan (up-front) ini tidak menjanjikan bahawa proses pemotongan tidak akan berlaku.
Encik Lee menjelaskan tunggakan tetap tunggakan, ianya perlu dibayar lambat laun juga. Apa salahnya jika JMB Bayu Villa membayarnya sekarang? Sekurang kurangnya ianya dapat mengurangkan jumlah tunggakan yang sedia serta mendapat pertimbangan daripada TNB Negeri.
KLS Housing Sdn. Bhd.
Sehubungan itu wakil dari KLS Housing Sdn. Bhd, Encik Sazalli Sahat yang datang menghadiri mesyuarat tersebut, mendengar segala proses perbincangan selama 2 jam dan akhirnya mendapat taklimat daripada seorang pegawai Jabatan Perkhidmatan Undang Undang TNB memberitahu bahawa KLS Housing Sdn Bhd akan berhadapan dengan kes perbicaraan dengan pihak mahkamah yang boleh menyebabkan KLS Housing Sdn. Bhd. disaman sehingga muflis jika bayaran tersebut tidak dapat dijelaskan memandangkan bil TNB adalah atas nama mereka.
Mengikut pemahaman dari pegawai tersebut, sebanyak 4 akaun TNB akan dibicarakan di dalam mahkamah yang melibatkan Blok A, B, C dan D. Pihak pengurusan TNB sekarang berada dalam proses menfailkan perbicaraan mahkamah untuk bil akaun Blok E.
Di akhir perjumpaan, pihak pengurusan TNB menjemput Encik Lee untuk makan tengahari bersama dengan pihak pengurusan TNB. Walaupun makanan yang disediakan (nasi lemak) tidak seberapa, tetapi Encik Lee merasakan harga sepinggan nasi lemak pada tengahari itu adalah berharga RM 40,000.00. Memang mahal sangat makanan nasi lemak yang dihidangkan pada tengahari itu.
Walaupun ianya lazat dan harum, harga RM 40,000.00 untuk sepinggan nasi lemak tanpa hidangan seketul ayam goreng ataupun sotong memang betul betul mahal tetapi sekurang kurangnya ianya dapat menahan lapar sehingga lewat petang.